“Memaafkan” adalah sikap pertama yang perlu dilakukan oleh setiap individu yang ingin melakukan apa jua kebaikan kepada orang lain. Jika kita ingin berdakwah kepada seseorang, hendaklah kita mulakan dengan memaafkannya disebabkan kejahilan atau salah fahamnya terhadap Islam. Apabila kita ingin membetulkan amalan seseorang, hendaklah kita mulakan dengan memaafkannya disebabkan kekeliruannya dalam mengikuti ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah yang tepat. Jika kita ingin berbuat baik kepada seseorang, hendaklah kita mulakan dengan memaafkannya seandainya sebelum itu dia pernah berbuat salah. Demikianlah seterusnya.
Memulakan kebaikan dengan sikap memaafkan akan merendahkan diri kita kepada sifat kesyukuran kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala yang telah mengurniakan kelebihan nikmat kepada kita. Ini seterusnya akan membuka diri kita ke arah bersikap neutral terhadap apa-apa kekurangan yang mungkin wujud pada diri orang tersebut. Kemudian ia akan melahirkan sikap ingin berbuat baik kepadanya secara ikhlas, lemah lembut dan berhikmah.
Jika keinginan untuk melakukan kebaikan tidak dimulakan dengan sikap memaafkan, kemungkinan besar kebaikan tersebut tidak akan terlaksana disebabkan wujudnya sesuatu kekurangan pada diri orang tersebut yang memberatkan kita untuk berbuat baik kepadanya. Seandainya kita tetap menganjak diri kita untuk melaksanakan kebaikan yang dirancang, ia hanya akan dilaksanakan secara separuh hati dengan hasil yang tidak menyeluruh. Malah ia mungkin dilaksanakan dengan nafas, nada dan raut muka yang mengeluh lagi menampakkan kebencian.
Sikap memaafkan akan mencapai kesempurnaan jika kita menggandingkannya dengan doa agar Allah Subhanahu wa Ta'ala mengampunkannya. Mendoakan keampunan bukanlah bererti kita melabelnya sebagai orang yang berdosa, akan tetapi sebagai bukti bahawa kita benar-benar tulus dalam memaafkannya.
Memaafkan dan mendoakan keampunan adalah dua sikap mulia yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, sekali gus menjadi sunnah baginda dalam berinteraksi dengan umatnya. Allah berfirman:
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad),
engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu),
dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.
Oleh itu maafkanlah mereka dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya. [Ali Imran 3:159]
Roti Canai....bestttttt
14 years ago
0 idea korang amatlah dihargai..:
Post a Comment